Dato’ Haji M. Tahrir bin Dato’ Haji Samsudin

Mufti Keduabelas (2008-2018)

Dato’ Haji M. Tahrir Bin Dato’ Haji Samsudin telah dilahirkan pada 25 Mei 1949 di Kundang Ulu, Muar, Johor. Ayahnya dikenali sebagai Kiyai Samsudin merupakan tokoh ulama’ terkenal serta disegani di negeri Johor. Pada usianya 25 tahun, Dato’ Haji M. Tahrir telah menggenggam Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1974. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran dengan mengikuti program Diploma Pendidikan yang berjaya diperolehinya pada tahun 1979. Demi minat dan kecintaan terhadap ilmu, beliau meneruskan pengajiannya pada tahun 1990 dan berjaya menggenggam Diploma Pentadbiran dan Kehakiman Islam.

Mengimbas perkembangan kerjayanya, Dato’ Haji M. Tahrir Bin Dato’ Haji Samsudin memulakan kariernya pada tahun 1976, menjadi seorang guru di SMA Shamsudiniah, Kundang Ulu, Muar, Johor. Profesionnya sebagai guru diteruskan lagi di Sekolah Menengah Lenga, Muar dan Maahad Muar.

Pada tahun 1982, beliau dilantik menjadi Pemeriksa Sekolah-sekolah Arab Negeri Johor selama setahun. Bermula pada tahun 1982, beliau memulakan kerjanya dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor sebagai Pegawai Tadbir Agama Daerah Muar dan Pegawai Tadbir Agama daerah Kota Tinggi. Seterusnya Pegawai Tadbir daerah Muar dan Pegawai Tadbir daerah Segamat. Dalm tempoh yang sama, beliau turut dilantik menjadi Amin Baitumal Negeri Johor.

Pada tahun 1992, beliau dilantik menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan di Jabatan Agama Johor selama 12 tahun. Beliau juga pernah diangkat menjadi Pengarah MARSAH bagi tempoh tahun 2003 hingga 2008 dan menjadikiankedudukan MARSAH setanding dengan institusi pengajian berprestij yang lain di Malaysia. Beliau bersara wajib dari perkhidmatan awam negeri Johor di usianya 55 tahun di Jabatan Agama Johor pada tahun 2004.

Berdasarkan ketokohan kepimpinan dan kewibawaannya sebagai ilmuan agama di negeri Johor, selepas tempoh persaraan wajibnya, Dato’ Haji M. Tahrir Bin Dato’ Haji Samsudin dilantik secara kontrak sebagai Timbalan Mufti Johor di Jabatan Mufti Johor pada 25 Mei 2008. Meneruskan khidmat baktinya selama 3 tahun sebagai Timbalan Mufti Johor. Bermula 13 November 2008, DYMM Sultan Johor berkenan melantik YB Sahibus Samahah Dato’ Haji M. Tahrir Bin Dato’ Haji Samsudin sebagai Mufti Negeri Johor sehingga 12 November 2018. Perkhidmatan beliau sebagai Mufti Negeri Johor adalah selama 10 tahun.