Datuk Haji Abdullah Musa

Mufti Kedua (1899-1907)

Datuk Haji Abdullah Musa dilahirkan pada April 1867 bersamaan Syawal 1279 H di Kampung Pasir Pekan, Kelantan. Beliau berhijrah ke Johor Bahru pada 22 Disember 1882 dan pulang semula ke Kelantan pada 22 Mac 1886. Kemudian beliau datang semula dan menetap di Johor Bahru pada 10 April 1886. Beliau banyak memberi khidmat untuk memajukan agama Islam di Johor Bahru. Antara khidmat bakti beliau ialah menjadi guru agama pada 1 Jun 1886, kemudiantelah dilantik menjadi peguam Mahkamah Johor pada 23 Januari 1887. Seterusnya pada 3 September 1896 beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Johor. Pada tanggal 9 Mac 1899, beliau menjadi Mufti Kerajaan Johor dan telah mendapat kurniaan darjah D.P.M.J. Jawatan terakhir beliau ialah menjadi ahli Mesyuarat Negeri Johor pada 30 April 1899. Pada malam jumaat tanggal 25 Oktober 1907  bersamaan 18 Ramadhan 1325 beliau telah kembali ke rahmatullah ketika berusia 44 tahun. Punca kematian beliau pula tidak diketahui.

Artikel ini dimulai dengan membicarakan surat daripada seorang pembesar kepada seorang ulama. Pembesar yang dimaksudkan ialah Datuk Mufti dan Hakim Besar Johor, beliau ialah Datuk Paduka Mahkota Johor Abdullah bin Musa.

Dalam koleksi catatan dan surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani terdapat maklumat mengenai beliau.

Sepucuk surat daripadanya ditujukan kepada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, surat tersebut bertarikh 25 Safar 1321 H/22 Mei 1903 M. Beliau menyebut Syeikh Muhammad Zain al-Fathani sebagai Hadhrat Ayahanda dan untuk Syeikh Ahmad al-Fathani dengan panggilan Hadhrat Al-Fadhil Kakanda. Sama ada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani mahu pun Syeikh Ahmad al-Fathani (yang disurati), kedua-duanya adalah tokoh yang banyak berjasa dalam pembentukan watak Abdullah bin Musa. Pergaulan antara mereka memakan masa yang agak panjang, iaitu sama ada mereka berada di Patani dan Kelantan sehinggalah mereka berpindah ke Mekah. Hubungan pertalian kekeluargaan dan rangkaian ilmu, sama ada yang bercorak zahiri mahu pun yang bercorak batini tiada dapat dipisahkan. Oleh itu ilmu-ilmu yang berasal daripada ayah dan anaknya itu dipegang kejat-kejat oleh Abdullah dari sejak muda hinggalah beliau memperoleh kedudukan yang demikian tinggi di Kerajaan Johor.

Abdullah sungguhpun mendapat kedudukan yang tinggi di Johor, sebenarnya berasal dari Kelantan. Nampaknya memang ramai ulama Kelantan yang pernah menjadi mufti di luar Kelantan, di antaranya Wan Muhammad menjadi Mufti Perak yang pertama. Ismail bin Abdul Majid pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, Haji Abdur Rahman bin Husein pernah menjadi Mufti Kerajaan Mempawah, dan ramai lagi. 

Pendidikan

Abdullah berasal dari Kelantan, kelahiran Pasir Pekan, Syawal 1279 H/April 1863 M. Biografi Abdullah juga belum banyak ditulis orang, maka riwayat ringkas mengenai beliau dijelaskan sebagai yang berikut: Pendidikan awalnya di beberapa pondok di Patani, merupakan kader Pondok Bendang Daya. Syeikh Muhammad Zain (Tok Wan Din) al-Fathani yang tersebut adalah salah seorang gurunya sewaktu berada di Pondok Bendang Daya, dan Abdullah belajar lagi kepada beliau sewaktu di Mekah.

Di antara yang seangkatan dengan Abdullah sewaktu belajar di Bendang Daya ialah Ismail bin Mustafa al-Fathani (Cik Doi Kedah), Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba, Kadi Muhammad Sa’id Umar Kedah, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), dan ramai lagi. Sewaktu melanjutkan pelajaran di Mekah Abdullah belajar kepada ramai ulama. Ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu di antaranya: Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, dan gurunya yang terakhir adalah Syeikh Ahmad al-Fathani.

Selain belajar kepada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu, Abdullah juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab yang terkenal pada zaman itu, di antara mereka ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abu Bakri Syatha, dan lain-lain. Ilmu khusus dalam bidang pentadbiran, siasah (politik), dan lain-lain yang bersangkutpaut pada kemaslahatan dunia, Abdullah hanyalah menerima pelajaran daripada Syeikh Ahmad al-Fathani bukan kepada ulama-ulama lainnya.

Mengajar 

Abdullah pulang ke Kelantan mendapat arahan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani supaya menyebarkan ilmu ke Tanah Jawi, lalu berpindah pula ke Johor pada 22 Disember 1882 M. Di Johor beliau mulai mengajar kitab secara berpindah-pindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Banyak masjid dan surau tempat beliau mengajar. Pada 22 Mac 1886 M. beliau pulang ke Kelantan dan pada 10 April 1886 M. atas permintaan murid-muridnya di Johor, maka Abdullah kembali ke Johor lagi.

Pelantikan Abdullah sebagai Hakim Besar Johor dan berikutnya sebagai Datuk Mufti Johor di sebut oleh Abdul Rahman Al-Ahmadi dalam buku, Tokoh dan Pokok Pemikiran Tok Kenali diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia, 1983, hlm. 47 – 48 bahawa pada 22 Jun 1887 dilantik oleh Sultan Johor sebagai Hakim Besar Kerajaan Johor. Bererti jawatan sebagai Hakim Besar Johor lebih dulu disandangnya daripada Mufti Datuk Kerajaan Johor. Kariernya terus naik, dua tahun kemudian tepatnya pada 9 Mac 1889 dilantik pula sebagai Mufti Kerajaan Johor. Walau bagaimanapun tarikh ini berbeza dengan tulisan Othman Ishak dalam bukunya, Fatwa Dalam Perundangan Islam, terbitan Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1981, hlm. 31 bahawa Abdullah berkhidmat dari tahun 1899 hingga 1907, sebagai mufti yang kedua.

Mufti Johor yang pertama ialah Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas yang berkhidmat dari tahun 1896 hingga tahun 1899. Yang disebut oleh Othman Ishak ada persamaan dengan Buletin Majlis, terbitan Majlis Agama Islam Johor, bil. 18, 1424 H./ 2003 M., hlm. 7, yang menyebut tentang Mufti Johor 1895 – 2004 M., bahawa mufti yang pertama Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas tahun 1895 – 1899 M. Mufti yang kedua, ialah Abdullah tahun 1899 – 1907 M. Daripada pertikaian penulisan yang tersebut di atas saya berpendapat bahawa kemungkinan Abdullah dilantik menjadi Mufti Johor dua kali. Yang pertama ialah 9 Mac 1889 M hingga tahun 1895 M. Sesudahnya ialah Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas, sesudah itu Abdullah dilantik lagi untuk menjadi Mufti Johor untuk yang kedua kali pada tahun 1899 – 1907 M.

Oleh sebab terjadinya maklumat yang berbeza seperti yang tersebut di atas, penelitian yang lebih kemas perlu dijalankan. Mufti Kerajaan Johor sesudah Abdullah (pelantikan kedua) ialah Datuk Syed Abdul Kadir bin Mohsin al-Attas tahun 1907 – 1933 M. dan seterusnya sehinggalah Mufti Johor yang sekarang Datuk Nooh bin Gadot yang dilantik tahun 1999 M. hingga sekarang. Jika kita perhatikan pelantikan kedua Abdullah (1899 – 1907 M) hingga pelantikan Datuk Nooh bin Gadot (1999 – 2005 M) mengambil jarak waktu sekitar lebih kurang 100 tahun. Abdullah wafat pada malam Jumaat, 19 Ramadan 1325 H./25 Oktober 1907 M. mendahului gurunya Syeikh Muhammad Zain dan Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar lebih kurang tiga bulan. 

BUDI BAHASA PERSURATAN  

Pada mukadimah telah disentuh perkara `budi bahasa’. Oleh sebab budi bahasa baru-baru ini termasuk anjuran kerajaan, maka beberapa contoh kalimat yang mengandungi unsur budi bahasa dirasakan perlu memperkenalkannya. Di antara kalimat Abdullah yang berunsurkan budi bahasa seperti kata beliau, “Sangatlah lama adinda tiada menulis kepada Hadhrat Ayahanda al-Haji Wan Muhammad Zain, demikian jua kepada Hadhrat Kakanda (maksudnya Syeikh Ahmad al-Fathani, pen:), maka iaitu semata-mata menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua. Daripada sebab itu haraplah adinda kiranya yang demikian itu dimaafkan.”